Cari Blog Ini

Sabtu, 24 Ogos 2013

Usah ambil hak orang lain..


Beberapa orang sahabat berbual-bual  tentang hal-hal di pejabat dan tiba-tiba terkeluar isu tentang tempat letak kereta. Di mana-manapun isu tempat letak kereta tidak berkesudahan kerana hampir semua orang  memiliki kereta.  Di KL atau bandar yang  memiliki penduduk padat ,isu parking  menimbulkan stress.  Sama juga di tempat kerja seperti LHDNM.

Kawasan parking khas telah ditetapkan untuk  pelawat, orang kelainan upaya (OKU), mengikut gred dan khas untuk  individu tertentu tetapi  tidak semua yang  akur. 

Mungkin ada orang fikir : ‘Tak apa, tempat parking banyak. Kalau ambil tempat orang lain tiada siapa pun tahu. Pandai-pandailah cari tempat parking  lain’.  Malah polis bantuan yang menjalankan tugas antara individu yang kurang disenangi sebab mengambil tindakan terhadap perkara ini.

Sebenarnya, semua orang akan kurang stress sekiranya menjadi individu yang mengetahui hak sendiri dan tidak mahu mengambil hak orang lain.  Sebagaimana kita tidak mahu orang lain mengambil hak kita, maka mulakanlah dengan tidak mengambil hak orang lain.

Membincangkan isu ‘Usah ambil hak orang lain’ terdapat beberapa hal lain juga perlu kita fikirkan agar kita tidak terjerumus menjadi individu yang mengambil hak orang lain.

Di pejabat contoh mengambil hak orang lain:

 Kutipan atau derma yang dikumpul untuk pihak tertentu tetapi digunakan untuk diri sendiri.

Mendapat pekerjaan yang dia tidak berkelayakan. Sekiranya dia mendapat sesuatu jawatan bukan kerana kelayakannya tetapi sebab kenal dengan orang tertentu, ia dikira sebagai mengambil hak orang lain yang layak.

Mengambil tempat atau ruang yang telah dikhaskan untuk orang tertentu. Contohnya, mengambil tempat letak kereta yang telah dikhaskan untuk tempat atau kawasan khas A untuk Gred 41 turut dikira sebagai mengambil hak orang lain. Malah menggunakan ID Komputer orang lain atau bilik yang telah dikhaskan untuk orang tertentu tanpa izin dikira sebagai mengambil hak orang lain.

Memegang satu-satu jawatan dan mendapat manfaat yang tidak sewajarnya atau dibenarkan. Contohnya jika saya menjaga petak parking, saya ciptakan satu petak untuk diri sendiri dan menidakkan hak orang lain yang sepatutnya mendapat petak  tersebut.

Di pejabat contoh mengambil hak orang lain:

Mengambil hak cipta orang lain tanpa kebenaran. Hasil usaha orang lain kita  akui ia hasil usaha dan hak cipta kita sendiri.  Maklumat sulit di pejabat/ maklumat organisasi yang tidak boleh didedahkan kepada umum. Selain kita tidak amanah, sebenarnya kita telah mengambil hak organisasi tempat kita bekerja.  Mencipta atau menghasilkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk agama, negara dan bangsa serta merosakkan jati diri manusia. Contohnya  menghasilkan filem, tulisan atau kartun yang memberi kesan negatif terhadap umum.

Menjual sesuatu yang memudaratkan atau berbahaya. Contoh terdekat, baru-baru ini hari raya kita menjual mercun.
Sengaja berhutang dan tiada niat untuk membayarnya sekalipun mampu. Contoh hutang PTPTN atau dengan kawan sepejabat.

Ambillah langkah untuk berubah.
Mengetahui sahaja tidak mencukupi, kita perlu melaksanakan perubahan agar memberi kebahagiaan kepada orang lain dan seterusnya bahagia ini akan sentiasa melingkari kita. Jaga hak orang lain dan tuhan akan pelihara hak kita.

UNIT PERKHIDMATAN PSIKOLOGI JABATAN SUMBER MANUSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan